24 October 2010

Russia? II

Masih awal pagi. Jam 7.51 am. Saya kata awal sebab subuh baru je habis, lebih kurang jam 7.40 macam tu. Dekat-dekat nak musim sejuk ni. Biasalah. Terus bersemangat nak tulis entri baru, setelah baca komen seorang kawan tentang entri sebelum. Heheh.

Ya. Saya berhenti sebelum makan malam.


On The Way 5

Bangun tidur jam 8 malam, terus pergi makan, boleh?

Makan style buffet. memang PERGHHH punya. Saya agak considerate malam tu, kerana di hotel itu bukan saja ada saya dan penumpang-penumpang lain yang terstranded, bahkan ada juga pelancong-pelancong mat saleh yg memang bertujuan melancong. Mat-mat dan minah-minah saleh belaka. Mungkin Eurpoean lah kot boleh saya kata.

Setelah menghimpunkan juadah-juadah dalam 2 pinggan (bukan saya makan 2 pinggan, tapi pinggan satu lagi utk tak mencampurkan kerana banyak benda lain boleh diisi. Hehe.), saya pun cari tempat duduk. Keseorangan. Ya. Apa kisah. Di situ memang ada pelancong-pelancong lain sedang makan pun.

Sedang saya makan, saya perasan ada sederet meja di bahagian depan, macam makan di restoran beramai-ramai, kau pun requestlah utk menggabungkan beberapa meja. Tak lama selepas suapan pertama saya, mereka beramai-ramai menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi dalam bahasa Inggeris. Alah, tipulah kalau kata tak pernah dengar macam mana lagu tu. Not really like a song la, tapi apa entah? Antologi? Puisi? Haha bukan.

Ada pula sambil mereka di meja sederet tu makan, kumpulan berpakaian tradisional tempatan (saya rasa) yg tersedia di tangan dan tersangkut di badan gendang. Guess what? Oh, ada lagu siaran langsung utk menghiburkan pelancong-pelancong yg sedang makan. Hmm. Cool, cool. Saya terhibur sebab kumpulan itu bermain lagu utk mereka. Kalau mereka mainkan lagu utk saya di sebelah meja, saya tak terhibur pun. Bahkan mengharapkan habis cepat dan pergi pula ke meja lain. Pemain gendang (macam mini bonggo rupanya) tu pun takdelah sedap mana dia main. Hehe.



Ketika saya hampir habis makan, mereka sudah menghabiskan lagu mereka. Aiseh, jangan la ke meja aku. Rupanya tak. Mereka ke meja sebelah. Saya pun bangun beredar tanda sudah habis makan. Mungkin mereka mainkan muzik utk pelancong-pelancong yg bayar hotel tersebut aje kot.


On The Way 6


Selepas makan, saya terfikir. Nak tak nak saya kena jugak dapatkan akses ke internet. Sudah cuba on netbook, tapi internetnya memerlukan login. Lalu saya bertanya pada reception, katanya, kad internet perlu dibeli dengan harga 250 rupee. Aduh. Tiada pilihan lain. Sudahlah tu, sejam aje pulak tu. Lalu saya tanya boleh ke guna mata wang lain, memandangkan saya ada ketika itu sedikit RM, beberapa UK pounds (£), dan euro (€) yg jugak tak berapa banyak. Manalah tahu, hotel banyak pelancong asing ni, boleh terima matawang lain. Alih-alih disuruhnya saya ke kedai berdekatan utk tukar duit. Cis.

Kedai seberang jalan sahaja. Sedikit renyai hujan ketika itu. Ya, sedikit renyai. Maknanya lagi sikit dari renyai.

Saya jumpa pekedainya. Nasib baik dia pun boleh berbahasa Inggeris, walaupun penampilannya agak menakutkan dan tak meyakinkan pun sebagai pengurup wang. In fact, kedai tu tak macam pengurup wang pun. Yang ada jeriji mengurung pengurupnya di dalam. Di sebelahnya, ada seorang lelaki ala-ala kongsi gelap gitu (mungkin ini ialah pandangan biasa di sini), berdiri dengan tut-tutnya, sambil lagu dipasang dengan sangat kuat, menghisap rokok. Lagilah saya mahu panggil dia kongsi gelap. Mungkin sebab kulit dia gelap juga kot. Kalau tak mungkin saya panggil dia samseng ke, gangster ke dll. Semasa berbincang dengan pekedai, pekedai tersebut memarahinya suruh ditutup radio kerana saya sedang berbincang utk tukaran tersebut. Oh, cool. Dia hormat juga. Memang saya rasa kena tipu. Sudah boleh agak, dari penampilannya. Hehe. Mungkin juga saya kurang ilmu mengenai benda ni. Tahu apa dia cakap?



Saya ada duit syiling £ dan €. Dan beberapa RM. Mahu tukar ke rupee kesemuanya. Katanya seingat saya, RM1 = 90 rupee. £1 bersamaan 110 rupee, dan lebih kurang juga utk €. Mana saya nak percaya, £1 saja sudah hampir 5x ganda RM. Tambahnya lagi, saya yang ada hanya syiling £ dan €, hanya mampu menukar dengan amaun tersebut sahaja. Melainkan kalau saya ada note. Jadi nilai tukarannya tinggi, walaupun dengan jumlah yang sama. Macam £5 syiling hanya dapat 550 rupee, tapi £5 duit kertas, boleh dapat lagi tinggi dari tu. Ada ke budaya macam ni?

Saya yang dah malas nak fikir panjang dan tak ada pilihan lain, tambahan pula dengan jam hampir menunjukkan jam 10 malam, kedai tadi pun sudah mahu tutup, nilai terendah rupee yg saya dapat ketika itu ialah 290 rupee, dengan tukaran satu atau 2 £ atau €, saya dah tak ingat. Kalau boleh nak tukar 250 rupee cukup-cukup, nak buat apa pun simpan rupee. Buat kenangan bolehlah. Saya simpanlah baki 40 rupee. 250 digunakan utk beli kad utk dapatkan akses ke internet selama sejam je tu.

Sejam, terasa sangat singkat bila ianya sangat berharga. Dan sejam juga rasa sangat singkat bila kita suka benda tu. Dan sejam juga rasa singkat, bila kita tak sedar rupanya kita dah buang masa bermain internet. Facebook sahaja boleh lebih dari itu setiap hari. Betul. Saya sedar.

Bukak netbook, scratch bahagian pada kad tersebut utk dapatkan pin loginnya, baru dapat. Seolah anak kera mendapat pisang, saya sangat-sangat bersyukur pada ketika itu. Terasa hidup kembali dapat berhubung dengan internet Facebook. Pernahkah kita rasa macam ni bila dapat baca Al Quran?

3 notifications. Kakak saya tulis di wall saya, katanya kalau dah sampai beritahu dia. 1 Facebook message, dari kawan saya yg saya minta dia jemputkan di London nanti, mahu tumpang bermalam. Satu lagi apa entah. Beza waktu Sri Lanka (Colombo to be precise) dan Malaysia ialah 5 jam setengah lagi lewat. Maknanya ketika itu Malaysia sudah awal pagi. Kakak saya masih online. Saya bukak Facebook chat dengan dia, beritahu apa yg berlaku. Tak mahu abah tahu, nanti risau pula dia nanti. Saya bukak juga Skype, yang memang akan automatik online bila ada akses internet. Cari kawan yg sudah ada di UK, utk tolong maklumkan kawan saya di London tu. Ah, ada sorang. Alhamdulillah.


Katanya, dia tiada pulak nombor telefon kawan di London tu. Saya cuba lagi, mana tahu dia ada nombor telefon kawan pada kawan saya tu. Ada. Saya minta callkan. Tak angkat pula. Akhirnya kawan tadi tu yg call semula. Di MSD (bukan McD) rupanya. Katanya, baik. Esok harinyalah dia tunggu. Dia pesan lagi supaya hantar mesej di Facebook, supaya dia tak lupa, dan saya dapat sampaikan apa yg sebenarnya saya nak sampaikan.

Terus saya cuba taipkan sesuatu, sedetil mungkin anggaran maklumat perjalanan saya, berdasarkan kiraan kasar, pukul berapa sampai semua. Takut juga, sebab sim kad UK saya tak tahu lagi boleh guna ke tak. Resah.

Time is running out. Habis saya taip mesej tersebut, saya tekan send, dan komputer mula memproses (loading). Lama. Saya dah resah. Sampai ke tak mesej ni. Sampai tak ni, sampai tak niii.... Saya buka page baru, dan alhamdulillah, sudah muncul dalam thread message tersebut. Page tadi masih tak siap-siap loading. 


Sebaik saja saya dapat pastikan sudah diterima, serentak itu internet terputus. Saya menarik nafas panjang dan menjerit kelegaan keseorangan dalam bilik tersebut (memang hakikatnya saya berseorangan diri pun dari awal perjalanan). See? Sekejap je sejam berlalu.

Saya tidur jam 12.00++ malam tu.


On The Way 7

Sudah masuk bahagian ke 7. Cerita saya tak habis-habis lagi. Bangun jam 4.30 am macam tu. Berdasarkan kiraan kasar saya ketika itu seingat saya, subuh masuk jam 5.30 am waktu tempatan.

Waktu sarapan 6.30 am sehingga 8.30 am. Pukul 8 saya turun makan. Memang PERGHHHH lagi sekali. Segala aneka makanan ada. Western pun ada. Jangan ingat Sri Lanka teruk sangat. Hehe. Oh, saya ternampak label (HALAL) di bahagian sosej. Saya memilih sosej (lebih kurang 10 batang saya ambil), scrambled eggs dalam 4,5 senduk jugak. Baked beans saya kurang suka, jadi dalam 2 senduk je saya ambil. Ada makanan sampingan, semacam bihun putih yang digulung-gulungkan. 5 saya ambil. Makan dengan kari. Tawar. Kari rasa kari biasalah. Makan benda tu sudah boleh mengenyangkan. Again, ya, sorang-sorang, bersama pelancong-pelancong lain di meja lain.

Minuman, ada beberapa pilihan jus selain air teh, kopi dan sebagainya. Tiada milo dan teh tarik. Saya pilih satu jus pekat berwarna coklat, tak ingat apa nama dia. Dan buah-buahan juga sedikit berupa pisang, tembikai dan betik. Habis makan, terasa ingin tahu juga, jus apa yang saya ambil ni. Sekali teguk, nak termuntah saya dibuatnya. Sedikit masam, dan aneh, yg saya pasti tak pernah sampai lagi ke anak tekak saya minuman jenis tersebut. Sekali teguk, saya tengok orang lain sekeliling. Cover, cover. Saya buat-buat biasa. Habiskan terus jus tersebut dengan beberapa teguk tanpa henti. Macam orang nak minum ubat pahit, tutup hidung, mata, dan segala yg boleh dicapai dengan tangan. Tapi saya tak buatlah, orang lain ramai kot di sekeliling.

Alhamdulillah, masih Allah beri nyawa saya bersambung hari ni. Selepas makan, naik bilik, bersiap-siap. Van dijangka akan tiba jam 10.15 am utk membawa kami penumpang-penumpang yg tercicir ke lapangan terbang semula.


On The Way 8


Sebelum saya naik flight lagi, saya perasan ada seorang gadis cina, dan saya turut terperasan dia masa nak turun di lapangan terbang Colombo juga. Saya juga nampak dia dalam barisan yg sama di kaunter utk mendapatkan vaucer hotel semalam. Saya masih beratur ketika itu, dan dia pula yg sudah dapat sesuatu di kaunter, berkata 'Oh my God..' sambil menepuk dahi and I was wondering apa yg dia dapat, tanpa mengetahui ianya vaucer hotel. Ingatkan tiket baru ke apa. Sepanjang semalaman saya di Hotel Brown Beach pun, masa makan, saya nampak lagi kelibat gadis tersebut, tapi bersama sepasang suami isteri. Saya jangka, kami masing-masing penumpang yg mengalami nasib yg sama, dan mereka juga Malaysian. Hmm.

Anda pasti tahu macam mana rasanya bila jumpa orang Malaysia bila sudah ada dalam keadaan macam ni bukan?

Nah, saya tak tegurlah dia. Dan pagi itu, saya turun membawa luggage saya semua, utk checkout, kebetulan dia pun turun sama, tapi di bilik sebelah yg lain. Setelah menyerahkan kunci, kami duduk di dua kerusi yg berlainan, berjauhan. Saya rasa macam nak tegur dia pulak.

Bila van ke airport sampai, gadis tadi bersama pasangan suami isteri (cina juga) tersebut turut masuk dalam van tersebut. Lagilah saya nak tahu, siapa mereka ini, dan sebagainya. Sebelum van berjalan, saya yg dihadapan, menegur pasangan tersebut yg ditengah, sambil tersenyum seolah-olah baru realise something.

"Are we going to the same place?"
"Oh ya, airport right?"
"No, I mean, are you guys going to London?"
"Oh ya ya"
"Oh, I'm heading to the same place too actually. Are u guys Malaysians?"

Benarlah tekaan saya. Cis, patut saya dah tegur mereka awal-awal lagi. Gadis cina (duduk di seat belakang sekali dalam van tersebut pun Malaysian juga rupanya.

Ha satu van berborak. Pemandu kali ini agak ramah, bila dia tahu kami berempat dari Malaysia, terus dia kata "I love Malaysia" atau something like that. Saya tak ingat sangat. Dan dia pun berceritalah tentang Sri Lanka, berapa juta penduduknya, komposisi mengikut agama, Buddha, Kristian, dan Muslim. Ada lagi kot, dah lupa. Muslim hanya lebih kurang 7% sahaja katanya rasanya. Hmm. Sembang punya sembang, pasangan tadi rupanya hendak melawat anak mereka yg bekerja di London, sekaligus membuat trip perjalanan ke negara-negara lain juga. Wah, banyak duit kau, saya kata dalam hati.

Sembanglah asal mana semua. Belajar kursus apa, tahun berapa dan sebagainya. Suprisingly, bila saya cakap dulu saya belajar di KYUEM, gadis cina tersebut rupanya juga dari KYUEM! Sedang belajar masuk tahun ketiga di University of Southampton. Saya tepuk dahi. Perkaitan yg banyak rupanya tanpa disangka.


On The Way 9

Sampai di airport, terus ada petugas bertanyakan samada saya mahukan troli. Mestilah saya nak. Beg sudahlah seberat 27.1 kg. Sudahlah tu, petugas tersebut tolong tolakkan troli, tolong angkatkan, dan tolong bawak saya ke kaunter utk check in. Baguslah, senang kerja saya. Sampai di kaunter check in, petugas tersebut berkata pada saya yg sedang beratur

"Sir, u have err...some.. pounds, money?"

(=_=")


Saya beri syling £2 pada dia. Itu sahaja yg saya ada ketika itu. Ya lah, duit dalam bank kot. Ada kegunaan lain jugak debit card ni rupanya ya. Mengelakkan saya menipu.

"No notes?"

Ok, saya dapat buat kesimpulan, nilai duit kertas lebih tinggi dari duit syiling, bukanlah hanya kenyataan pekedai semalam tersebut sahaja. Petugas tersebut belalu dgn hampa yg cuba dicover.


Sampai di kaunter, sekali lagi, pegawai di situ bermuka garang dan tak nampak ramah pelanggan macam di UK dan Malaysia. Dia minta tiket saya, saya katalah saya cuma ada vaucer hotel, dan tiket KL-Colombo semalam. Dia minta saya tunggu, dan buatkan tiket baru. Cool. Jangan saya ada kena tanggung kos lain pula sudah.

Sebelum menuju ke gate selepas check in, ada pengawal yg perlu dilepasi. 2 orang lelaki tempatan. Mereka meminta tiket dan passport. Sambil seorang memeriksa dokumen saya, seorang lagi memandang saya sambil meraut-raut dagunya dan berkata

"Nice"

Saya terpinga-pinga kejap.

Dia menunjukkan jarinya pada muka saya dan kembali meraut-raut dagunya, sedikit mengangguk, dan berkata

"You"

Saya tersenyum lebar dan berkata

"Thanks"


janggut saya bukan macam ni ye. hiasan semata-mata.



Bersambung di Siri 3.


.

23 October 2010

Russia?

Berapa haribulan hari ni? 22.


Anda tahu di Malaysia telah berlaku apa? Ok, BM saya agak berterabur dalam ayat ni.


Entri ni bersifat persendirian. Luahan. Dan seumpamanya. Jika rasa bosan, jangan tinggalkan page ni lagi, sebab mana tahu, kebosanan anda akan berkurang. Hehe.


1. Sudah mahu pulang ke UK.

Ya, rasa juga sedih tinggalkan keluarga. Tapi apa nak buat, sudah pilih utk belajar jauh. Sendirilah tanggung. Mungkin lebih tepat kalau saya katakan sedih, dan masa pertama kali, tahun lepas, lebih kepada excited je.

Sesampainya di lapangan terbang, 9.05am kapal terbang dijadualkan berlepas, saya dan abah sampai lebih kurang 7.45 mcm tu. Ternampak kawan satu universiti yg akan pulang juga pada tarikh yg sama, tapi lain flight. Tak lama lepas tu, nampak lagi 2,3 orang. Hish.

Lepas check-in, saya ternampak perkataan di electronic board di atas kepala saya, di kaunter check-in tersebut.

DELAYED.

Alahai.

Dapat vaucer makan percuma di 4 restoran di KLIA. Satu jelah tapi. Pergi makan kejap. delay 3 jam. Lebih kurang jam 11 baru saya boleh tunggu di boarding gate. Abah memilih utk pulang dulu, ada meeting katanya. Saya bersendirian di KLIA, bukak netbook kejap, chatting dgn kawan. Jam 11.20 baru saya sampai di boarding gate. Saya teruslah ke tempat kawalan pengawal. Katanya, flight belum sampai lagi.

Tunggulah di situ. Jam 12.05 mcm tu, baru sampai. nak servis semua, 12.35 pm baru boleh masuk. Saya sudah menarik nafas panjang. Lebih kurang 1 pm waktu Malaysia, baru flight mula bergerak. Badan sudah kepenatan.


2. On The Way.


Perjalanan 4 jam, saya mampu tidur sebahagian perjalanan je. Walaupun badan agak lesu. Perjalanan tersebut adalah dari KL menuju Sri Lanka, transit di sana. Sampai di Sri Lanka, 1.30 pm waktu tempatan. Saya terus mencari papan kenyataan elektronik utk merujuk jadual perjalanan saya seterusnya.

11.30 AM .... DEPARTED.

WHATTTTTTT....??

Saya tunggu lagi, mana tahu muncul lagi maklumat lain. Sambil-sambil tengok juga dokumen perjalanan, flight yg mana yg dimaksudkan. Setelah beberapa kali memeriksa, tak salah lagi. Itulah flight saya. Allah.

Saya terus ke kaunter yg berkenaan. Beberapa penumpang flight yg saya naik tadi turut beratur di kaunter yg sama. Masalah yg sama saya rasa. Sampai giliran saya di kaunter, tahu saya diberi apa?


Vaucer hotel beserta borang imigresen. Allah.


On The Way 2

Nak lepas pemeriksaan imigresen, pak cik tu sudahlah garang. Bukan macam di Malaysia, apatah lagi mcm di UK. Budaya org Sri Lanka. Saya cuba sedapkan hati.

Turun ke bawah, nak claim luggage, saya cuba buat-buat cool. Jangan menggelabah. Mulut tak henti-henti baca ayat kursi. Saya ke belt tempat bagasi-bagasi dibahagikan. Semasa menunggu, tiba-tiba seorang mamat datang, meminta telefon bimbit utk dipinjam utk membuat panggilan. Dalam hati saya kata,

Ah, taktik orang Malaysia.

Haha. Tapi saya berhati-hati juga. Sambil cuba utk tak menipu, saya katalah, phone saya tak boleh digunakan, sebab takde sim kad Sri Lanka. Syiling pun takde, dalam bagasi. Mamat tu blah. Selesai. Lega. Tiba-tiba ada seorang perempuan membawa troli mendekati saya. Saya cuba praktikkan budaya di UK, hormat-menghormati orang lain. Saya undur sikit, beri laluan. Tahu-tahu, lagi dia menghimpit saya. Ish, apa kena minah ni. Lepas tu dia blah mcm tu je. Lagi saya pelik.

Dekat 15 minit tunggu, sampai belt tu dah berenti pun, bagasi saya tak kelihatan lagi, saya mula mengambil langkah sendiri. Tengok di board tu, rupanya di belt lain. Cis. Tapi, di belt yg sepatutnya pun masih saya tak ketemu. Allah. Petugas di situ macam budak-budak nakal di Malaysia je, walaupun memakai uniform. Takut juga. Katanya, hanya itu saja bagasi yg ada dari Kuala Lumpur. Akhirnya, saya ke kaunter loss luggage. Baru jumpa lepas dicari lepas saya buat aduan tersebut.

Ternampak poster di belakang kaunter aduan tersebut, warm hospitality. I was like, "err...."


On The Way 3

Keluar ke tempat menunggu, saya ke kaunter teksi utk mengangkut saya ke hotel penginapan. Terjumpa pula pak cik Melayu di situ. Sempatlah berborak dengannya kenapa flight tadi delayed. Setelah beberapa minit menunggu, seorang pekerja di situ memanggil kami. Menuju ke van yg akan mengangkut kami ke hotel.

Dalam perjalanan ke hotel, saya dapat melihat suasana sekitar Sri Lanka. MasyaAllah. Banyak betul pengajaran boleh diambil dengan mengembara ni. Benarlah firmanNya. Saya tak mengantuk langsung pun. Pemandu van hanya diam. Saya buat apa? Baca ayat kursi tanpa henti. Pesan kakak saya. Takut juga sebenarnya. Keluar dari pagar airport, pengawal penuh di kiri kanan, macam tentera pulak. Lagilah cuak.

Dalam perjalanan lebih kurang 25 minit, boleh kata lebih 30 kali pemandu van membunyikan hon. Sudahlah memandu dengan laju. Nampak orang menghalang laluan sikit, hon. Saya nampak satu kenderaan yg dipanggil tut-tut. (Bila saya menonton kembali movie Slumdog Millionaire, saya ternampak kenderaan yg sama dalam movie tersebut). Kenderaan ini macam teksi di sana, mengangkut pelancong, penumpang, tapi berupa beca bermotor. Sudahlah bertayar 3 sahaja, tut-tut tut-tut ini dipandu dengan laju dan ikut suka hati. Mentang-mentang kecik, main buat je pusingan U sesuka hati. Teringat saya dalam cerita Mr Bean, kereta bertayar 3. Hehe.

Dialog, nama communication network dan internet provider di Sri Lanka. Jalan-jalannya agak berdebu, dan boleh kata agak rendah, taraf hidup di sini, walaupun di tengah bandar. Cuaca macam di Malaysia, panas tengahari biasa. Bangsa-bangsanya berkulit gelap. Pembangunannya agak tak teratur. Dan sebagainya.


On The Way 4

Sampai di hotel, Brown Beach kalau tak salah saya, saya hanya tunjukkan vaucer hotel tersebut. Dia pun faham. Nasib baik staf-staf hotel boleh berbahasa Inggeris. Saya disuruh makan segera, kerana waktu makan tengahari hampir tamat. Saya tanya, halal ke? 2 kali dia jawab, halal.

Hotel terletak di tepi pantai. Saya masuk bilik, 2 katil double tersedia utk saya. Saya ulang, 2 katil double. Fuh! Bilik berhawa dingin, pemandangan tepi pantai yg menarik. Saya tukar selipar, dan turun utk makan.

Makan tengahari sudah habis katanya. Dia akan cuba sediakan something utk saya walaubagaimanapun. Saya tunggu di tempat makan. Tengok jam di tangan, yg sudah saya putarkan ke waktu tempatan, teringat di Malaysia. Saya anggap ini sebagai satu pengembaraan. Dugaan. Sudahlah kakak pesan, nanti dah sampai UK, beritahu dia. Sudahlah tu, saya sudah katakan pada kawan utk jemput saya di airport, utk saya tumpang menginap, sesampainya nanti! Nak tak nak saya kena beritahu dia, kalau tak, nanti dia dtg sehari awal pulak utk jemput saya.

Waiter dtg membawa makanan. Sebelum itu saya 2,3 kali jugak tanya, halal ke tak. Dia jawab halal. InsyaAllah, yakin. Setelah dihidangkan, sekali lagi saya bertanya, halal ke. Jawapan yg sama diberikan. Tu dia makanan, nasik goreng dan 6 jenis lauk, termasuk ayam dan sayur-sayur masak dal dan sebagainya.

Selepas makan, saya berjalan-jalan kejap di tepi pantai. Jam menunjukkan lebih kurang 4 lebih petang ketika itu. Seorang lelaki tempatan yg sedang duduk-duduk bersama kawan-kawannya menyapa saya.

"Where are u from?" sambil mengangkat tangan ke arah saya.

Saya dengan senang hati menjawab soalannya. Mendengar Malaysia, pastilah dia tahu. RM juga tinggi berbanding Sri Lanka rupee. Heheh. Borak punya borak, bila mengetahui saya Islam, terus dia membalas

"Assalamualaikum"

Terharu kejap saya. Jumpa jugak muslim di bumi Allah yg satu ini. Saya bertanya lanjut mengenai makanan di hotel tersebut, kiblat, dan sebagainya. Borak punya borak, dia tunjukkan pada saya sesuatu, berupa barang-barang perhiasan. Oo, nak aku beli barang dia rupanya mamat ni!

Saya pula jenis cepat nak ramah dgn org, dan tak reti nak tolak pelawaan ke apa ke, akhirnya saya beli juga sebuah cangkerang yg diukir di atasnya. Saya beri dia RM8 dan £1 syiling rasanya. Lebih kurang RM13. Ok lah, lebih kurang cenderamata di Malaysia jugak. Ada juga batu yg diukir menjadi bentuk gajah, dan uniknya, terdapat anak gajah dalam perut gajah ukiran tadi. Kagum. Tapi saya tak boleh simpan patung-patung dalam bilik.

Sudahlah tu, masa saya nak bayar pada mamat tadi, dan nak blah, kawan-kawannya pula menunjukkan barang-barang mereka pada saya, utk saya beli! Arrghhhhhh..... Yang laki sorang lagi nak jual wallet kulit. Kulit ori lah, apa entah lagi dia nak promosi. Yg perempuan pula, nak jual kain. Suruh bagi pada teman wanita, ke emak ke. Gila apa. Saya bukan nak balik ke KL. Nak tinggalkan KL adalah.

Selesai solat jamak takhir Zohor-Asar, kemas barang sikit gitu gini, sudah senja. Awal jugak tu. Terus solat jamak taqdim Magrib-Isyak, dan tidur kejap. Sehingga waktu makan malam.


Sudah panjang. Saya sambung di entri kedua pula nanti. Boleh jadi sampai siri 5 saya rasa ni. Panjang sungguh ceritanya.


.

berterus terang

Tinggal lebih kurang seminggu je sebelum saya kembali ke tanah penjajah, meneruskan studies, kembali menghadap cuaca sejuk, oh, sedikit berlainan insyaAllah. Memandangkan saya tak lagi duduk dengan flatmate orang-orang tempatan (British). Kawan saya kata dengan bahasa SMSnya yg agak annoying;


Wlopon ak merungut panas2 tpi ak x mau dowh p UK nak cuti lagi


Saya setuju dengannya. hakikatnya, bila terasa panas, merungut bagai dan kalau ada kawan di sebelah, mulalah buka cerita di UK macam mana. Begitu sebaliknya. Tapi musim panas di UK lebih kurang 3 bulan je setahun. Memang sangat susah mendapat panas sedemikian di sana.


Dulu, semasa saya berjalan-jalan di bandar Coventry seorang diri, saya di sapa oleh seorang muslim dari Arab Saudi (kalau tak silap) semasa hendak menunaikan solat Asar di surau berdekatan. Selepas berbual sikit gitu gini, dia bertanya "What do u like about UK?" or something like that la soalan dia. Masa tu usia saya di UK baru mencecah 2 bulan.


Saya mengambil masa hampir 15 saat utk soalan tersebut.


Ya, honestly, saya suka dengan beberapa perkara yg masyarakat UK praktikkan. Mungkin juga saya yang kurang tahu tempat2 di lain macam mana.


Buka pintu. Bila hendak masuk ke bangunan, jika ada sesiapa di dalamnya, atau yg turut hendak masuk dengan kita, pasti mereka bukakan pintu utk kita, dan benarkan kita masuk dulu dan berkata sambil tersenyum "After you".



TESCO berhampiran tempat tinggal.


Saya pernah suatu ketika pulang membeli belah barangan utk meneruskan hidup di TESCO. Beratnya, masyaAllah. Nak pergi lagi esok tak tau ada masa ke tak. Jadi beli saja banyak-banyak hari tu. Sesampainya di pintu masuk ke hall kediaman saya, ada seorang lelaki sedang menghisap rokok di luarnya, kerana dalam bangunan ada penggera asap. Melihatkan saya dari jauh sedang mengangkat barang di kedua-dua belah tangan, bingkas dia bangun dan menuju ke pintu. Oh, rupanya dia terlupa bawa kunci pintu tersebut, lalu dihentam saja tarik pintu tu sampai terbuka utk saya masuk. Haha. Sampai macam tu. Bukan muslim tu.


pintu yg telah dikopak. gambar hiasan.


Cheers/Thanks/Sorry. Ini ialah ucapan yg agak sering kedengaran dari mulut mereka, samada bila dengan kita org luar, mahupun sesama mereka sendiri. Ucapan ini lebih kurang macam terima kasihlah jika di Malaysia, tapi tak jugak sebab selalu digunakan bukan pada tempat yg terima kasih biasa digunakan. Contoh tadi, bila saya (agak terharu) dibukakan pintu utk masuk ke hall, saya ucapkan thanks padanya sambil tersenyum dan dia membalas "cheers mate".


Jalanraya. Di UK yang sejuk, orang ramai masih boleh opt utk berjalan kaki, lagipun ianya kan exercise. Hehe. di Malaysia, siapa nak berjalan, sebab selalunya panas. Semua mahu duduk dalam kereta, berhawa dingin setiap masa. Maka, sangat biasalah pemandangan orang-orang berjalan kaki dengan banyaknya di tepi-tepi jalan. Disebabkan itu, banyak jugalah zebra-crossing di mana-mana jalan. Kalau tak zebra-crossing pun, lampu isyarat utk pejalan kaki. Dan terharunya, bila kereta-kereta yg sedang dipandu nampak ada pejalan kaki di tepi jalan di zebra crossing, mereka akan berhenti utk berikan pejalan kaki tersebut laluan. Berhenti pulak tu sampai habis tu. Bukan takat gear 2 je. Yang hanya sekadar zebra-crossing pun diorang berhenti, apatah lagi jika ada lampu isyarat. zebra-crossing di Malaysia diletakkan di tempat-tempat yg memang ada lampu isyarat. Kalau letak di jalan biasa, mau nya orang nak patuh. Silap-silap ada yg hilang nyawa. Hehe.

Satu lagi, bila di lampu isyarat. Kuning sudah berhenti. Bukan kuning lagi mahu tambah laju.


zebra-crossing yg cool 


Taklah saya ceritakan semua ini pada pak Arab tadi, sekadar-kadar sajalah. Kemudia dia menjawab yg dia tak suka UK. Kenapa? masyarakatnya penjual-penjual terutamanya, suka menipu dalam perniagaan. Bila mahu menjual, mulut manis katanya. Selebihnya penerangannya saya tak ingat.


Saya tak percaya sangat. Kerana setakat online shopping, masuk ke shopping mall menggunakan beg sendiri, naik bas menggunakan tiket daysaver, semuanya seolah-olah masing-masing sangat boleh dipercayai antara satu sama lain. Sepanjang 9 bulan di UK, baru sekali ada pegawai atas bas memeriksa tiket daysaver yang digunakan adakah tiket yg dibeli pada hari tersebut. Sebab tu kawan saya selamba naik bas menggunakan buspass kepunyaan orang lain.


Nah kau sekali terkena masa percubaan menjual telefon bimbit di sebuah laman web yg pernah saya baca review yg tak elok baginya. Dah rugi £2**.




Dari permulaan entri sampailah huruf terakhir saya dalam perenggan di atas, telah ditulis lebih sebulan lepas. Sayangnya saya hanya simpan dalam draft tanpa mempublishkannya. Sekarang tahu apa?



Saya dah lupa apa yg saya nak ceritakan dalam entri ini. Saya nak tulis entri baru. Sekian.



.